Maksud Hikmah

Firman ALLAH, 'Dan apabila ALLAH ingin menganugerahkan kebaikan kepada hamba Nya, maka diberikan Nya HIKMAH'.

Maksud Hikmah adalah memahami agama, mengetahui sesuatu perkara itu dengan jelas dan terperinci serta mengetahui tafsir mimpi.

Tuesday, 14 September 2010

Maunah, Kebenaran yang sebenar




1. Buku ini telah saya beli pada 20 Jan 2004 di Sebuah kedai buku di Sungai Buloh, tidak lama selepas semua pesalah Al Maunah dijatuhkan hukuman dan beberapa tahun selepas isu ‘sandiwara’ mulai reda. Saya begitu teruja sekali untuk membacanya untuk mengetahui hal yang sebenar sehingga mengorbankan beberapa nyawa. Apabila saya terdengar sahaja yang ianya telah diterbitkan, segera saya mencarinya di kedai yang berdekatan.


2. Teringat saya bagaimana saya terpaksa menjawab pelbagai soalan dan pertanyaan dari rakan-rakan di Kantin PPUM mengenai isu tersebut berdasarkan pengalaman dan pengetahuan saya dibidang ketenteraan. Terasa sepeti jurucakap politik pula ketika itu dan saya menjawab apa yang saya ketahui dan rasa tanpa membuat apa-apa spekulasi. Akan tetapi, jawapan benar saya itu telah dituduh pro kerajaan apabila saya sendiri mengaku, sekiranya saya berada dalam situasi tentera yang mengawal kem tersebut, mungkin juga saya akan tertipu dengan mereka.

3. Buku ini menerangkan kenyataan yang sebenar tentang perkara yang berlaku dan juga membenarkan beberapa jawapan saya tentang pelbagai andaian-andaian masyarakat dalam sesi soal siasat yang dahulu. Setelah beberapa tangan dipinjam, setelah beberapa lama ia hilang dan setelah terperuk dirak buku sekian lama, saya membuka semula buku ini apabila peristiwa tersebut dibincangkan di dalam satu forum dan beberapa kenyataan mengenai peristiwa itu saya dapati bercanggah dengan kenyataan yang sebenarnya.

4. Saya pernah bersua muka dengan Tuan Zabidi Mohamed ini ketika mengunjungi Ustaz Zakaria Sungib semasa membincangkan tentang novel kedua saya yang ditolak oleh pihak Ustaz. Kami bersalaman dan berbual sedikit memandangkan Tuan Zabidi ketika itu sedang sibuk dengan urusannya. Setelah membaca buku ini untuk kali kelima, baru saya memahami kenapa manuskrip novel saya itu ditolak. Ianya berkaitan dengan taksub dan jin. (Alhamdulillah, akhirnya terjawab jua persoalan dihati saya ini setelah sekian lama tertanya-tanya, berkaitan dengan manuskrip novel saya)

5. Itulah kenyataan sebenar yang dibentangkan dalam buku ini berdasarkan pengalaman nyata Tuan Zabidi sendiri semasa di dalam kumpulan Al Arqam dan dituliskannya dalam buku, ‘Al Arqam, tersungkur di pintu syurga’. Di sebabkan kecenderungan dan minat dibidang tasauf, maka saya mudah dapat menerima dan memahami kenyataan yang dibentangkan oleh Tuan Zabidi ini.

6. Kisahnya apabila ketua Al Maunah, Amin, telah terpengaruh dengan ilmu kebatinan di dalam persilatan dan tertipu dengan jin yang mempengaruhinya untuk menubuhkan kerajaan Islam secara pemberontakan bersenjata atas nama jihad. Lantaran pengaruh jin dan kebatinan yang dimilikinya, dia berupaya mempengaruhi pengikut-pengikutnya sehingga mereka menjadi taksub dan percaya bulat-bulat akan segala arahan, tindakan dan perbuatannya sedangkan pengikut-pengikutnya itu bukan calang-calang orang. Ramai yang terdiri dari pegawai dan bekas tentera,polis, golongan professional dan biasa, yang tertipu dengan perwatakan waraq, alim dan zuhud Amin itu, telah mempercayai segala tindakannya adalah dibawah suluhan ALLAH. Ditambah pula dengan kemampuan-kemampuan ajaibnya yang selalunya berupaya dilakukan dengan bantuan jin dan mereka menyangka yang Amin itu adalah wali ALLAH.

7. Justeru itu, kenyataan yang sebenarnya adalah taksub dan tipu daya jin sepertimana yang berlaku kepada Al Arqam. Bagi masyarakat moden, perkara ini adalah satu kenyataan yang tidak masuk akal dan kurang rasional apatah lagi apabila dibawa ke mahkamah. Mahkamah sememangnya akan menolak tentang hujah dan kenyataan itu. Bagi yang pernah terlibat dengan tareqat dan tasauf, perkara-perkara tidak masuk akal seperti maunah, karamah, kasyaf dan wali memang berlaku tetapi dengan ilmu syariat dan usuludin yang mantap, sebarang penyusupan jin, syaitan dan nafsu, boleh dikenal pasti dan diatasi , dan yang sebenarnya, hanya segelintir saja yang berjaya melepasinya.

8. Sepertimana yang diterangkan dalam buku ini, penipuan dan perancangan licik Amin itu boleh dikategorikan sebagai operasi yang bijak dan hebat seperti mana operasi rompakan keretapi yang hebat di Britain dan operasi mencuri kapal selam oleh MOSSAD di Perancis yang ada diceritakan didalamnya. Tuduhan-tuduhan serta andaian-andaian beremosi lantaran keliru dan tidak mengetahui kenyataan sebenar memang biasa berlaku bukan ke atas peristiwa Al Maunah ini saja, tetapi banyak lagi contoh peristiwa seperti Rampasan kapal terbang Garuda yang ditumpaskan oleh Komando Indonesia pada tahun 1981 sehinggalah kepada pendaratan Neil Armstrong ke bulan.

9. Buku ini telah menerangkan kenyataan yang sebenar dan iktibar serta hikmah yang perlu diambil perhatian daripada buku ini adalah jangan taksub kepada sesuatu atau sesiapa sehingga mengengkari batas-batas kewarasan dan ilmu.

10. Maunah, Kebenaran yang sebenar, Zabidi Mohamed, Zabidi Publication, Kuala Lumpur, November 2003, ISBN 983-99447-2-x

No comments:

Post a Comment